Salah seorang daripada mereka berkata: " Sesungguhnya tidak ada yang dapat menyelamatkan kamu sekalian daripada bencana ini kecuali apabila kamu sekalian berdoa kepada Allah s.w.t dengan menyebut amalan-amalan soleh yang pernah kamu lakukan.
Salah seorang antara mereka telah berdoa. "Wahai Allah, saya mempunyai ayah dan ibu yang sangat tua. Saya biasa memberi minuman susu kepada keluarga dan anak-anak saya. Pada suatu hari saya terlambat pulang daripada mencari kayu dan saya dapati kedua-duanya sudah tidur. Saya terus memerah susu untuk minuman mereka. Kerana saya mendapati mereka berdua tidur maka saya pun tidak mahu membangunkan mereka. Kemudian saya berjanji tidak akan memberi minum susu itu sama ada kepada keluarga mahupun kepada anak-anak sebelum saya memberi minum kepada ayah bonda."
"Saya menunggu ayah dan bonda, hingga terbit fajar barulah kedua-duanya bangun sementara anak-anak menangis, mereka datang kepadaku. Setelah mereka bangun, ku berikan minuman susu kepada kedua-duanya. Wahai Allah, jika saya berbuat seperti itu kerana mengharapkan wajah-Mu maka gerakkanlah batu yang menutupi gua ini". Maka bergeraklah sedikit batu itu tetapi, masih belum membolehkan mereka keluar dari gua tersebut.
Orang kedua pula merayu kepada Allah s.w.t dengan bermunajat. "Wahai Allah, sesungguhnya saya mempunyai saudara sepupu perempuan yang sangat saya cintai, kemudian saya selalu memujuknya untuk melakukan zina tetapi dia selalu menolaknya. Selang beberapa tahun dia ditimpa kesusahan menyebabkan dia datang kepada saya meminta bantuan. Lalu saya berikan kepadanya 120 dinar, dengan syarat dia mahu berzina dengan saya. Kali ini dia berada dalam keadaan terdesak menyebabkan dia pun bersetuju.
Ketika kami hampir-hampir melakukan perbuatan yang hina itu dalam keadaan saya berada di antara kedua-dua kakinya dia berkata. " Takutlah kamu kepada Allah dan jangan kau robekkan selaput daraku kecuali dengan cara yang benar." Kemudian saya meninggalkannya, padahal dia seseorang yang sangat saya cintai dan saya telah meredakan bantuan yang saya berikan kepadanya. Wahai Allah, jika saya berbuat seperti itu kerana mengharapkan reda-Mu, gerakkanlah batu yang menutup gua ini." Maka, bergeraklah batu itu lagi sedikit tetapi mereka masih belum dapat melepaskan diri keluar dari gua itu."
Orang yang ketiga juga berdoa. "Wahai Allah, saya menggaji beberapa orang pekerja dan semuanya saya bayar gaji mereka dengan sempurna kecuali ada seorang yang menghilangkan dirinya, meninggalkan saya dan tidak mengambil gajinya terlebih dahulu. Kemudian gaji itu saya laburkan dalam perniagaan sehingga menjadi banyak. Selang beberapa lama dia datang dan berkata: "Wahai hamba Allah, berikanlah gaji saya yang dulu itu." Saya berkata " Semua yang kamu lihat itu baik unta, lembu, kambing termasuk budak yang mengembalakannya ialah gajimu."
Dia berkata: Wahai hamba Allah, janganlah engkau mempermainkan saya." Saya menjawab:" Saya tidak mempermainkan kamu." Kemudian dia pun mengambil semuanya dengan tidak meninggalkan sisa sedikit pun. "Wahai Allah, jika saya berbuat itu kerana mengharapkan reda-Mu, maka gerakkanlah batu itu. " Akhirnya batu itu pun bergerak dan mereka dapat keluar dari dalam gua."
(Dari hadis riwayat al Bukhari, no. 2272; Muslim, no. 2743; Ahmad, 2/116)
PENGAJARAN DARI KISAH INI ANTARANYA IALAH:
Kita dianjurkan untuk memanjatkan doa pada saat-saat genting dan sukar, atas dasar melaksanakan perintah Allah. Firman Allah s.w.t dalam surat Ghafir ayat 60 yang bermaksud: Dan Tuhan mu berfirman: " Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Ku perkenankan bagi mu."
Menjalinkan hubungan dengan Allah dengan cara yang disyariatkan, yakni dengan amal yang soleh.
Takwa merupakan faktor penyelamat, terutama ketika berhadapan dengan situasi yang sukar. Firman Allah s.w.t dalam surah at Talaq ayat 2, maksudnya: "Barang siapa bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan baginya jalan keluar." (Surah at Talak:2)
Keutamaan berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa adalah daripada yang lain.
Ijarah, merupakan suatu akad yang diharuskan dalam Islam, untuk memperoleh manfaat dalam waktu tertentu dengan bayaran setimpal. Firman Allah yang bermaksud: Kemudian, jika mereka menyusukan (anak-anak) mu untukmu maka berikanlah kepada mereka upahnya. (Surah at Talaq:6). Nabi Muhammad s.a.w juga bersabda yang bermaksud: "Ada 3 golongan yang aku menjadi musuh mereka pada hari kiamat, antaranya: Seseorang yang mengupah manusia, namun setelah diselesaikan tidak dibayar upahnya." (Hadis riwayat bukhari, no. 2227)
Menepati janji merupakan kesempurnaan iman.
Seseorang muslim bertanggungjawab menjalankan amanah yang diberikan padanya.
Amalkan berlapang dada dalam urusan pergaulan dengan orang lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan