Isnin, 7 Jun 2010

ISTIQAMAH

Menurut ilmu bahasa, perkataan istiqamah bermaksud tegak lurus. Dalam pengertian lain, istiqamah bermaksud berdiri teguh di atas jalan yang lurus serta tidak bergoyah atau goncang dalam apa jua keadaan. 
       Di dalam Kamus Dewan, istiqamah dimaksudkan sebagai ketaatan menjalankan sesuatu suruhan secara sederhana tetapi terus menerus, termasuk dalam menjalankan urusan agama.
       Allah memerintahkan orang mukmin supaya istiqamah dalam akidah, iaitu yakin dengan keesaan-Nya, istiqamah dalam melakukan ibadah dan amal, istiqamah dalam melaksanakan tugas dengan ikhlas, menjauhkan diri daripada sifat takbur, sombong, mengharapkan pujian dan sifat lain yang termasuk dalam  rangkaian akhlak yang tercela.
       Istiqamah terbahagi kepada 3 jenis iaitu:
  1. Istiqamah dengan lisan: Orang yang istiqamah  sentiasa memelihara perkataan agar selalu jujur dan benar. Dia tidak mengeluarkan kata -kata yang tidak berfaedah.
  2. Istiqamah dengan hati: Dia selalu teguh dan lurus memelihara kesucian hatinya, ikhlas, jujur, mempunyai tujuan dan niat yang baik serta menjauhkan diri daripada penyakit hati yang antara lain seperti hasad dengki, bongkak, sombong dan sebagainya.
  3. Istiqamah dengan jasmani: Seluruh anggota tubuh tetap mematuhi fungsi, menunjukkan syukur, melakukan ibadah, patuh dan taat menjalankan perintah Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya.
       Penerangan di atas jelas menunjukkan istiqamah itu adalah satu cara hidup seseorang Muslim. Umat islam perlu bersikap jujur dan tulus ikhlas dalam menjauhi segala larangan Allah Subhanahu Wataala.

(Diubahsuai daripada artikel bertajuk Istiqamah dalam akhbar Didik (Bil 347)7-13 Ogos 2001)
          

1 ulasan:

  1. Soalan:
    1. Apakah maksud istiqamah menurut ilmu bahasa?

    2. Nyatakan 3 jenis istiqamah.

    BalasPadam