Rabu, 14 Disember 2011

Motivasi dari Hadis Nabi Muhammad (1)

MOTIVASI DARI HADIS NABI MUHAMMAD S.A.W (1) 


Dari Jabir R.A, dia berkata, aku pernah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

“JIKA ADA SESEORANG MEMASUKI RUMAHNYA LALU DIA MENYEBUT NAMA ALLAH S.W.T PADA SAAT MEMASUKINYA DAN PADA SAAT MAKAN. MAKA SYAITAN AKAN BERKATA KEPADA RAKAN-RAKANNYA: ‘ TIDAK ADA TEMPAT MENGINAP BAGI KAMU SEMUA DAN TIDAK ADA JUGA MAKAN MALAM UNTUK KAMU SEMUA.’ DAN JIKA MASUK RUMAH, ,LALU DIA TIDAK MENYEBUT NAMA ALLAH PADA SAAT MEMASUKINYA, MAKA SYAITAN AKAN BERKATA: ‘ KAMU SEMUA BOLEH MENGINAP DI SINI,’ DAN JIKA TIDAK MENYEBUT NAMA ALLAH PADA SAAT AKAN MAKAN MAKA SYAITAN AKAN BERKATA: ‘KAMU SEMUA BOLEH MENGINAP DAN JUGA DAPAT MAKAN MALAM.’”

(Riwayat Muslim)

Isnin, 7 Februari 2011

Nasab Nabi Muhammad S.A.W

Nama Baginda S.A.W adalah Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muttolib bin Hasyim bin Abdul Manaf bin Qusai Bin Kilab bin Murrah bin Kaab bin Lu'ai bin Ghalib bin Fihr bin Malik  Bin Nadhr bin Kinanah bin Khuzaimah bin Mudrikah bin Ilyas bin Mudhar bin Nizar bin Ma'ad bin Adnan.

 Inilah nasab Nabi Muhammad S.A.W yang berurutan sampai ke Adnan yang tidak dapat diragukan lagi atas kebenarannya. Nasab ini telah ditetapkan dengan hadis yang mutawatir dan persepakatan para ulama. Allah S.W.T meletakkan ketinggian dan kemuliaan Nabi Muhammad S.A.W. dengan memilih nasabnya dari kalangan orang-orang yang terhormat dan mulia.

Manakala selepas daripada Adnan yang menyambungkan rantaian nasab sehingga Nabi Ismail A.S ialah senarai yang tidak disepakati tentang kesahihannya.

(Ahmad Lutfi(n.d), Biografi Bercahaya Muhammad Rasululllah S.A.W, Khazanah Al Linggi)

Khamis, 3 Februari 2011

Hukum Cabutan Bertuah & Bentuk Peraduan,

Hukum Cabutan Bertuah & Bentuk Peraduan,
Pertandingan Moden
Apa hukum cabutan bertuah? Adakah ianya judi?. Cabutan bertuah mempunyai pelbagai bentuk dan jenis, ada yang halal dan ada yang haram. Dalam tulisan ringkas ini saya cuba dedahkan beberapa bentuk dan hukum setiap satunya.
Namun sebelum kita melihat bentuk-bentuk semasa cabutan bertuah, jika dilihat dari sudut hukum kes atau isu cabutan bertuah ini tergolong dalam perbincangan ‘al-musabaqat' atau ‘pertandingan'. Namun jika tidak kena caranya, dengan mudah ia akan jatuh dalam masalah judi ataupun gharar.
Dalam masalah judi, keputusan majlis Fiqh Antarabangsa "Organization of the Islamic Conference, Islamic Fiqh Academy" dalam sidangnya ke 14 pada 8 - 13 ZulQaedah 1423 H (11-16 Jan 2003) yang lalu telah memutuskan (keputusan nombor 127 (14/1), unsur perjudian dalam sebarang peraduan, permainan dan pertandingan dalam dua bentuk seperti berikut :-
DUA BENTUK PERTANDINGAN BERUNSUR PERJUDIAN
1) Disebabkan oleh jenis permainan : Iaitu apabila ia bersifat permainan yang hanya bergantung kepada tuah (game of luck) untuk menang serta memerlukan bayaran untuk menyertainya .
2) Disebabkan oleh hadiahnya : iaitu apabila hadiahnya diambil dari kumpulan wang penyertaan semua peserta.
Para ulama kontemporari dalam persidangan fiqh di atas mentakrifkan judi (al-qimar) mengandungi dua unsur utama :-
* Setiap permainan yang mensyaratkan mereka yang kalah untuk membayar sesuatu.
* Mengambil harta orang lain dalam situasi 'mukhatarah' atau risiko samada akan dapat atau tidak dapat.
* Disebutkan oleh ulama silam sebagai :-
هو كل لعب تردد بين غرم وغنم
Ertinya : "Iaitu setiap permainan, peraduan, pertandingan yang tidak pasti akan kerugian atau untung" ( Hasyiah Al-Bajuri, 2/521)
Disebutkan :-
إذا كانت الجوائز من المتسابقين فإنها تعد حراماً لانها من باب القمار ولأن كل واحد من المتسابقين لا يخلو إما أن يغنم أو يغرم , ولا يخفى من أكل أموال الناس بالباطل وإيقاع العداوة والبغضاء
Ertinya : Dan jika hadiah pertandingan atau permainan itu datang dari kumpulan yuran peserta, maka ia adalah haram kerana ia tergolong dalam bab judi nasib "qimar", dan kerana setiap peserta tidak sunyi dari peluang untuk meraih untung atau menanggung rugi, justeru amat jelas ia dari kategori memakan harta orang lain secara salah, membenihkan permusuhan dan perengkaran"  (Al-Mughni, Ibn Qudamah )
Berdasarkan keputusan di atas, berikut adalah bentuk cabutan bertuah yang jatuh dalam kategori judi :-
1) Mereka yang ingin menyertai cabutan mestilah membayar yuran tertentu secara langsung : -
i- Secara tunai iaitu berdepan : iaitu dengan memberikan RM xxx kepada penganjur secara tunai bagi membolehkan penyertaan. Tanpa mengira sama ada yurannya sama atau berbeza. Hukumnya tetap haram. (Al-Badai' Al-Sonai', Al-Kasani)
ii- Secara tunai melalui alat telekomunikasi : bayaran dibuat disekalikan dengan kos telefon, internet, sms dan lain-lain. Sebagai contoh kos biasa bagi satu minit bercakapdi talian telefon adalah 15 sen, tetapi bagi mereka yang ingin menyertai cabutan ini, satu nombor telefon khas akan diberikan dan kos 1 minit juga lebih tinggi, iaitu RM 1. Kadar baru ini diberitahu secara jelas di awal kontrak.
iii- Syarikat menganjurkan makan malam dengan bayaran RM 100 yuran bagi seseiapa yang ingin menyertai cabutan bertuah. Bagi sesiapa yang tidak ingin menyertai cabutan bertuah, yuran hanyalah RM 90. Cabutan bertuah sebegini adalah judi.


 iv- Menang cabutan bertuah dari Hong Kong atau Macau dan lain-lain ; Peserta menerima SMS mendakwa menerima hadiah cabutan bertuah wang tunai mencecah RM50,000 yang diadakan di luar negara. Peserta bagaimanapun, diminta membayar yuran pemindahan wang ke dalam akaun tertentu.
Hukum : haram kerana judi dan gharar, malah telah dilaporkan banyak kes penipuan menggunakan cara ini.






2) Mereka yang ingin menyertai cabutan perlu membayar yuran secara tidak langsungiaitu:-
Yuran dimasukkan dalam harga pembelian barangan biasa. Ini menyebabkan hargamenjadi lebih tinggi dari biasa. Sebagai contoh, pihak pasaraya mengadakan cabutanbertuah kereta MyVi. Bagi sesiapa yang ingin menyertainya mestilah membeli barangan tertentu yang telah dinaikkan harganya dari harga biasa. Ia jatuh dalam kategori judi kerana bayaran lebihan itu dianggap sebagai yuran penyertaan.
 
Jenis Cabutan Yang Halal
Semua jenis cabutan bertuah yang tidak memerlukan sebarang bayaran untuk menyertainya adalah halal dan harus. Ia adalah disepakati oleh ulama kerana melihatnya sebagai pemberian hadiah biasa dari satu pihak (yang memberi dan menawarkan). Tiada sebarang pihak aakan menanggung kerugian walaupun tidak terpilih, tatkala itu tiada timbul isu memakan harta orang lain secara batil (salah) yang diharamkan oleh Allah swt. (Syarah Al-Zarkasyi Ala Mukhtasar Al-Hiraqi, 4/320 )  
Sebagai contoh :
a- Cabutan Bertuah Khas Untuk Pekerja : Semua pekerja layak untuk memasukiperaduan yang dianjurkan syarikat, hadiah istimewa disediakan. Tiada sebarang bayaran dikenakan.
Hukum : Ia adalah halal.


b- Cabutan di Majlis Makan Malam : Syarikat menganjurkan makan malam, dan semua kakitangan dijemput hadir tanpa sebarang bayaran. Ketika itu, cabutan bertuah dibuat sama ada cabutan bagi nombor meja, nombor kakitangan ataupun secara melekatkan tanda tertentu di bawah kerusi.
Hukum : Semuanya adalah halal dan tiada sebarang pihak menanggung kerugian.
c- Cabutan bertuah di pasaraya : Terdapat beberapa buah pasaraya yang melaksanakan promosi dengan menawarkan mana-mana pelanggan yang membeli barangan berharga lebih dari RM100 dalam satu resit, pelanggan tersebut akan diberikan borang untuk penyertaan cabutan bertuah, HARGA BARANGAN PULA KEKAL PADA HARGA BIASA.
Hukum : Cabutan ini adalah halal dan tiada unsur perjudian kerana pelanggan tiada kerugian apa-apa dan semua wangnya bukan untuk menyertai pertadningan cabutan ini tetapi untuk membeli barangan, dan demikian juga pihak pasaraya. Pelanggan membeli barangan pada harga asal dan tiada sebarang yuran dikenakan.





















Permainan @ Peraduan Moden
Sebentar tadi kita telah membicarakan perihal cabutan bertuah yang haram dan yang halal. Terdapat beberapa ulama yang cuba menganggap permainan atau pertandingan yang beserta hadiah sebagai 'Wa'd Bi Tabarru' atau janji untuk bersedeqah, namun majoriti ulama tidak bersetuju dengan pandangan ini dan mengklasfifikasikannya sebagai aqad mu'awadat atau kontrak komersial untuk meraih pemilikan dan untung. ( Al-Furusiah, Ibn Qayyim, hlm76)
Dengan berubahnya klasifikasi ini semua hukum akan berubah bentuknya. Di kesempatan ini saya akan menyentuh dengan ringkas beberapa jenis cara pemainan yang boleh dijumpai dalam masyarakat kita, ia seperti berikut :-
1) Dua orang bermain tenis, namun hanya satu pihak meletakkan hadiah sebanyak RM200. Siapa menang dia akan memiliki hadiah itu.
Hukum : Para ulama berbeza pandangan dalam bab ini kerana hanya satu pihak yang mengeluarkan. Fatwa ulama seperti berikut ;-
a- Harus : Demikian pendapat majoriti ulama dari mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali.
b- Haram : Ia adalah pendapat mazhab Maliki kerana wang RM 200 telah keluar dari miliknya dan jika ia menang, wang itu akan kembali kepadanya atas nama 'qimar'.
Pendapat yang lebih kuat (rajih) :  adalah pendapat pertama yag mengharuskannya kerana wang RM200 itu adalah miliknya dan pihak kedua tidak terlibat dalam memberi sebarang wang, dengan sebab itu pihak kedua tidak terdedah kepada sebarang risiko. Dengan demikian, wang RM200 tadi dikira seperti hadiah biasa sahaja dan bukan judi.
2) Dua orang bermain tenis, kedua-duanya mengeluarkan wang lalu diletakkan sebagai hadiahnya.
Para ulama terbahagi kepada tiga kumpulan dalam hal ini. Namun majoriti ulama termasuk Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali serta Majlis Fiqh Dunia memfatwakannya sebagai HARAM. Malah Ibn Rusyd Al-Hafid menyebut telah terdapat ijma' tentang pengharamannya. (Tabyin Al-Haqaiq, Az-Zaila'ie, 6/228 ; Al-Kafi, Ibn Abd Barr, 1/489 ; Al-Umm, Al-Syafie, 3/230 ; Al-Insaf, Al-Mardawi, 6/93; Al-Jami', Ibn Rusyd, hlm 336)



3) Dua orang sedang bermain tenis, mereka bersetuju siapa yang kalah perlu membayar harga sewaan gelanggan tenis.
Hal seperti ini telah wujud sejak zaman dahulu kala lagi, hingga ia dicatatkan contoh sepertinya oleh ulama silam dengan kata :-
لا يجوز لأنه في معنى القمار نحو أن يقول أحدهما لصاحبه : إن سبقتني فلك عليّ كذا , وإن سبقتك فلي عليه كذا فقبل الآخر
Ertinya : "Tidak harus ( haram) kerana terdapat dalamnya erti atau unsur judi seumpama seorang berkata kepada rakannya : Sekiranya engkau tewaskan aku maka bagiku hadiah itu dariku, dan jika aku menewaskanmu, mestilah engkau memberinya kepadaku, lalu kedua-duanya bersetuju"( Badai As-Sonaie; Al-Kasani)
Hukum : Ia adalah judi walaupun ada unsur usaha dari kedua belah pihak dan bukan permainan nasib semata. Unsur judinya datang dari sudut hadiah, seolah-olah kedua-dua pihak meletakkan sejumlah wang untuk membyaar sewa gelanggang, hanya yang kalah akan terkena. Ia tetap judi walaupun kedua-dua pihak redha meredhainya. Tiada redha dalam perihal haram.
Namun jika hanya salah seorang yang menjanjikan hadiah, seorang lagi tidak, hukumnya berubah menjadi harus atau halal. Ia adalah pendapat mazhab Al-Hanafi, Syafie dan Hanbali (Tabyin Al-Haqaiq, Az-Zaila'ie, 6/227 ; Qawanin Al-Ahkam, Ibn Juzai, hlm 177 ; Hasyiah Al-Qalyubi, 4/266 ; Al-Insaf, Al-Mardawi, 6/93 )   
4) Dua orang atau lebih sedang bertanding futsal, kumpulan yang kalah disyaratkan belanja makan kumpulan yang menang.
Hukum : Ia juga perjudian dan sama bentuknya dengan bentuk nombor tiga di atas.
5) Beberapa kumpulan ingin menganjurkan pertandingan bola sepak, namun tiada sebarang sumbangan hadiah dan tiada tajaan diperoleh. Natijahnya mereka menggunakan wang terkumpul dari yuran penyertaan sebagai hadiah atau untuk membeli hadiah.
Hukum : Ia adalah judi walaupun permainan bola sepak bukannya permainan yang bergantung kepada nasib semata-mata. Namun unsur judinya datang dari bahagian kedua iaitu hadiah yang wang terkumpul semua peserta. Ini menjadikan semua kumpulan terdedah kepada untung dan rugi. Tatkala itu Majlis Fiqh Dunia menganggapnya sebagai perjudian. Demikian juga jika ditinjau dari perspektif empat mazhab. Tetapi jika hadiah datang dari sumbangan mana-mana pihak yang tidak menyertai pertandingan itu, permainan tadi menjadi halal secara sepakat ulama.
Ada yang bertanya, bagaimana jika semua kumpulan diberi hadiah saguhati?. Jawabnya, ia tetap judi sekiranya pemenang utama mendapat hadiah yang berbeza nilainya. Namun jika semua hadiah sama nilainya tanpa kira yang menang dan yang tewas. Ia menjadi harus dan bukan lagi judi. Tatkala itu pemenang hanya mendapat keseronokan dan kepuasan perasaan sahaja.
Ringkasnya para ulama bersepakat bahawa setiap permainan yang memerlukan penyertaan yuran untuk bermain dan hadiahnya diambil dari wang itu, semuanya adalah judi tanpa mengira sama ada permainan itu bersifat ilmiah, minda dan lain-lain.
6)        Membeli surat khabar untuk menyertai pertandingan teka bola dan sebagainya.
Hukum : Majlis Fatwa ulama Mekah dan Madinah memfatwakannya sebagai harus. Demikian juga pandangan terkuat menurut beberapa ulama kontemporari seperti Prof Dr Uthman Syabir. (Ahkam Al-Musabaqat Al-Mu'asiroh, Majma Fiqh Islami, Ke 14, tahun 2003 )  
Keharusan ini adalah kerana si pembeli tidak rugi apa-apa kerana ia beroleh manfaat surat  khabar, kecualilah jika dibelinya surat khabar sehingga 10 naskhah hanya kerana ingin menyertainya banyak-banyak. Tatkala itu hukum bertukar menjadi haram dan judi.
Kesimpulannya, hadiah pertandingan yang dibenarkan dalam Islam hanyalah jika :-

1. Hadiah di dermakan oleh pihak ketiga yang tidak memasuki pertandingan. Manakala wang yuran peserta hanya untuk kegunaan pentadbiran pertandingan.

2. Hadiah diambil daripada sebahagian yuran peserta sahaja, manakala yang lain digunakan untuk kegunaan pentadbiran pertandingan
Semoga artikel ringkas ini dapat menyedarkan umat Islam di sekeliling akan keterlibatan mereka dalam perjudian tanpa disangka.
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
25 Mac 2008

PENGENALAN RINGKAS TENTANG ISLAM

تعريف موجز بالإسلام
باللغة : الماليزية
Introduction to Islam in Malaysian Language


BAHASA MALAYSIA
Segala puji hanyalah bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad SAW Imam para rasul, ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya sekalian.
Islam ialah penyaksian bahawa tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah SWT dan Muhammad SAW itu adalah pesuruhNya, penyaksian yang diakui dengan hati dan disebut dengan lidah serta dibuktikan oleh anggota badan. Agama ini mengandungi enam rukun Iman dan lima rukun Islam serta Ihsan dalam melaksanakan rukun-rukun tersebut. Ia diturunkan oleh Allah SWT kepada rasulNya Muhammad bin Abdullah sebagai penutup bagi semua risalah ketuhanan. Ia adalah satu agama yang benar. Allah tidak menerima seseorang itu beragama melainkan Islam. Allah SWT  telah menjadikan Islam satu agama yang mudah, tidak susah dan tidak membebankan ke atas penganutnya dengan sesuatu yang di luar kemampuan dan keupayaan mereka. Ia satu agama yang berasaskan kepada tauhid, bersimbolkan kebenaran, berpaksikan keadilan dan berteraskan sifat rahmat ke atas sekalian alam. Ia adalah agama yang memberi petunjuk kepada sekalian hamba terhadap semua perkara yang bermanfaat kepada mereka di dalam urusan agama dan dunia, dan mengingatkan mereka daripada sesuatu yang memudharatkan dalam perkara agama dan kehidupan. Satu agama yang memperbetulkan akidah, akhlak dan kehidupan dunia dan akhirat. Agama yang menyatukan hati-hati yang berpecah-belah lalu membersihkannya daripada kebatilan, membawanya kepada kebenaran dan memberikannya petunjuk kepada jalan yang lurus.
Islamlah agama yang sebenarnya, segala yang disampaikan adalah benar, tidak menghukum melainkan dengan kebaikan dan keadilan yang berprinsipkan kepercayaan yang sahih, amalan yang benar, akhlak yang mulia dan adab yang terpuji.
Risalah Islam bertujuan untuk mencapai perkara-perkara berikut :
1. Memberi pengenalan kepada manusia tentang tuhan dan pencipta mereka melalui nama-namaNya yang indah yang tiada bandingannya, sifat-sifatNya yang tertinggi yang tidak menyerupai sesuatu pun, perbuatanNya yang sempurna dan penuh hikmah yang tiada sekutu dengannya dan tentang hakNya yang tiada sekutu baginya.
2. Mengajak manusia menyembah Allah Yang Maha Esa tanpa mempersekutukan- Nya dengan melaksanakan segala yang diperintah dan meninggalkan segala yang dilarang.
3. Memberi peringatan tentang keadaan dan tempat kembali mereka selepas mati, apa yang akan mereka hadapi di alam kubur, tentang hari kebangkitan dan perkiraan amalan serta penentuan mereka sama ada ke syurga atau neraka.
Secara ringkasnya, asas-asas penting Islam adalah seperti berikut :
PERTAMA : RUKUN-RUKUN IMAN
Rukun Pertama : Beriman Kepada Allah
Ia mengandungi perkara-perkara berikut :
1. Tauhid Rububiyyah :
Iaitu beriman bahawa Allah SWT adalah pencipta, pemilik alam semesta dan pentadbir serta pengurus segala urusan makhluk.
2. Tauhid Uluhiyyah :
Iaitu beriman bahawa Allah SWT adalah tuhan yang sebenar dan sebarang penyembahan selain daripada Allah SWT adalah batil.
3. Tauhid Asma’ dan Sifat :
Iaitu beriman bahawa Allah SWT mempunyai nama–nama yang indah dan sifat-sifat yang sempurna lagi tinggi sebagaimana yang disebut di dalam Al-Quran dan As-Sunnah.
Rukun Kedua: Beriman Kepada Para Malaikat
Iaitu beriman bahawa malaikat itu adalah hamba ciptaan Allah SWT yang mulia. Mereka sentiasa melakukan ibadat serta taat setia lagi patuh kepada segala perintah Allah SWT. Mereka telah ditugaskan dengan berbagai-bagai tugas. Antaranya, Jibrail u, menjadi perantaraan untuk membawa wahyu daripada Allah SWT kepada sesiapa yang dikehendaki daripada nabi dan rasul. Mikail A.S, wakil bagi menurunkan hujan dan tumbuh-tumbuhan. Israfil A.S, meniupkan sangkakala bagi mematikan dan membangkitkan semula makhluk. Malaikat Maut, mencabut roh ketika kedatangan ajal bagi kematian.
Rukun Ketiga : Beriman kepada Kitab-kitab
Iaitu beriman bahawa Allah SWT telah menurunkan kepada para rasul akan kitab-kitab yang mengandungi petunjuk, kebaikan dan kemaslahatan kepada manusia. Antara kitab-kitab yang kita ketahui :
1. Taurat yang diturunkan kepada nabi Musa A.S yang merupakan kitab terbesar bagi Bani Israil.
2 .Injil yang diturunkan kepada nabi Isa A.S.
3. Zabur yang diturunkan kepada nabi Daud A.S .
4. Suhuf bagi nabi Ibrahim A.S.
5. Al-Quran Al-Karim yang diturunkan kepada nabi Muhammad SAWyang merupakan penutup para nabi. Dengan itu Allah SWT telah memansuhkan dan membatalkan semua kitab yang terdahulu dan menjamin untuk menjaga serta memelihara Al-Quran yang akan kekal menjadi hujjah ke atas sekalian makhluk hingga hari qiamat.
Rukun Keempat : Beriman Kepada Para Rasul
Iaitu beriman bahawa Allah SWT telah mengutuskan para rasul kepada sekalian hambaNya bermula daripada nabi Nuh A.S dan berakhir dengan Nabi Nabi Muhammad SAW. Kesemua para rasul ini –termasuk Isa bin Maryam dan Uzair A.S.- adalah manusia biasa yang tidak mempunyai ciri-ciri ketuhanan sedikitpun. Malah mereka merupakan hamba-hamba yang dimuliakan oleh Allah SWT dengan membawa risalahNya. Risalah-risalah ini diakhiri dengan nabi Muhammad SAW yang diutuskan kepada sekalian manusia dan tidak ada lagi nabi selepasnya.
Rukun Kelima : Beriman Kepada Hari Akhirat
Iaitu beriman bahawa hari akhirat ialah penyudah sekalian hari dan tiada hari lagi selepasnya. Ketika itu sekalian manusia akan dibangkitkan semula oleh Allah SAW dari kubur-kubur mereka dan dihidupkan untuk hidup kekal sama ada di syurga atau neraka .
Beriman kepada hari akhirat juga ialah beriman kepada segala yang akan berlaku sesudah mati seperti fitnah kubur, nikmat dan azabnya dan segala yang akan berlaku sesudah itu seperti kebangkitan, perhimpunan untuk perhitungan amalan dan penentuan sama ada ke syurga dan neraka.
Rukun Keenam : Beriman Kepada Qadar
Iaitu beriman bahawa Allah SWT menentukan segala kejadian dan mewujudkan segala ciptaan berdasarkan pengetahuanNya yang terdahulu dan selari dengan hikmahNya. Semua kejadian tersebut di ketahui oleh Allah Ta'ala sejak azali dan tertulis di sisiNya di dalam Lauhul Mahfuz. Dialah Allah yang menghendaki sesuatu dan menciptakannya dan tiada satu kejadian yang berlaku melainkan dengan kehendakNya dan penciptaanNya.
KEDUA : RUKUN-RUKUN ISLAM
Agama Islam dibina di atas lima rukun dan seseorang itu tidak akan menjadi muslim yang sebenar sehinggalah dia beriman dan melaksanakan kesemua rukun ini.
Rukun Pertama : Mengucap Dua Kalimah Syahadah (iaitu Penyaksian bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan Allah SWT dan Muhammad SAW  itu adalah pesuruhNya)
Mengucap dua kalimah syahadah merupakan kunci dan asas kepada binaan Islam. Pengertian “La ilaha illallah” (tiada tuhan melainkan Allah) ialah : Tidak ada yang berhak disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Allah Yang Maha Esa. Dialah tuhan yang sebenarnya dan semua tuhan selain Allah adalah batil kerana makna tuhan dalam perkataan “Ilah” ialah yang disembah.
Adapun pengertian “Anna Muhammadar Rasulullah”(bahawa Muhammad itu utusan Allah) ialah : Percaya dan membenarkan apa yang dibawa oleh baginda nabi Muhammad r dengan mentaati suruhan dan perintah serta menjauhi larangan dan menyembah Allah SWT dengan cara yang telah ditetapkan oleh baginda.
Rukun Kedua : Sembahyang
Maksudnya ialah sembahyang yang telah ditetapkan oleh Allah SWT kepada hambaNya sebanyak lima kali pada setiap hari sebagai melaksanakan hak Nya ke atas hamba dan sebagai mensyukuri nikmatNya yang terlalu banyak. Sembahyang juga merupakan tali penghubung antara muslim dengan tuhan kerana ia boleh berdoa dan bermunajat secara langsung dengan Allah SWT. Sebagaimana sembahyang adalah benteng bagi seorang muslim daripada terjerumus ke dalam lembah kemungkaran dan kejahatan.
Dengan sembahyang seseorang hamba akan mendapat kebaikan agama dan kejernihan iman serta ganjaran daripada Allah SWT sama ada cepat mahupun lambat. Dengan itu, tercapailah ketenangan rohani dan jasmani yang menjadikan hamba itu hidup bahagia di dunia dan di akhirat .
Rukun Ketiga : Zakat
Zakat merupakan pemberian yang dikeluarkan pada setiap tahun oleh seseorang yang diwajibkan ke atasnya dan disalurkan kepada orang yang berhak dari golongan fakir miskin. Zakat tidak diwajibkan ke atas seorang fakir yang tidak mempunyai kiraan zakat yang cukup tetapi ia diwajibkan ke atas orang-orang kaya kerana dangan pengeluaran zakat itu boleh menyempurnakan agama, mendidik budi pekerti, melindung diri dan harta mereka daripada kebinasaan, menyuci jiwa daripada kejahatan dan membantu serta menampung keperluan fakir miskin walaupun pemberian yang dikeluarkan itu terlalu sedikit jika dibandingkan dengan pemberian dan rezeki Allah SWT yang melimpah ruah.
Rukun Keempat : Puasa
Maksudnya ialah puasa pada bulan Ramadhan al-Mubarak iaitu bulan yang kesembilan dari bulan-bulan al-Qamariah. Pada siang hari di bulan ini, semua orang Islam bersatu meninggalkan tuntutan syahwat daripada makan, minum dan bernikah kahwin bermula daripada terbit fajar sehingga terbenam matahari.
Sebagai balasan terhadap hambanya yang meninggalkan perkara di atas kerana berpuasa, dengan limpah kurnianya Allah menyempurnakan agama dan iman mereka, menghapuskan kesalahan, mengangkatkan darjat mereka dan lainnya yang telah ditentukankan puasa itu membawa kepada kebaikan dunia dan akhirat.
Rukun Kelima : Haji
Ia bermaksud pergi ke Baitilah al-Haram di Makkah al-Mukarramah untuk mengerjakan ibadah khusus kepada Allah pada masa yang tertentu sebagaimana yang diketahui di dalam syariat Islam. Sesungguhnya ibadat haji ini telah difardukan oleh Allah SWT ke atas orang-orang yang berkemampuan mengerjakannya sekali sahaja seumur hidup. Dalam mengerjakan ibadat ini, umat Islam dari segenap tempat berhimpun di bumi barakah untuk menyembah tuhan yang satu dengan memakai pakaian yang sama. Tiada perbezaan di antara pemimpin dan rakyat, di antara kaya dan miskin, berkulit putih dan hitam. Lalu mereka menunaikan manasik haji yang ditentukan seperti Wuquf di Arafat dan tawaf di Kaabah yang merupakan kiblat bagi sekalian umat Islam serta sa’ie di antara bukit Safa dan Marwah. Maka pada ibadat haji ini terdapat banyak sekali manfaat yang tidak terhitung dan terkira sama ada daripada aspek dunia mahupun agama.
KETIGA : IHSAN
Ihsan bermaksud kamu beribadah kepada Allah dengan keimanan dan penyerahan diri seolah-olah kamu melihatNya dan jika kamu tidak melihatNya, sesungguhnya Dia memerhatikan kamu (iaitulah kamu merasakan keadaan tersebut dan melakukannya berdasarkan Sunnah RasulNya Muhammad SAW, dan tidak sekali-kali menyalahinya).
Agama Islam merangkumi semua yang tersebut di atas. Sebagaimana yang telah diketahui, Islam telah menyusun kehidupan masyarakatnya, individu mahupun berkumpulan yang boleh menjamin kebahagian mereka dunia dan akhirat. Maka Islam membenar bahkan menggalakkan perkahwinan dan mengharamkan perbuatan zina, liwat dan semua perkara buruk dan mewajibkan hubungan silaturrahim, kasihan belas kepada fakir miskin dan menjaga mereka sebagaimana Islam mewajib serta mendorong penganutnya kepada semua akhlak yang baik dan mengharam serta mengingatkan daripada setiap akhlak yang buruk. Islam membenarkan ahlinya mencari rezeki yang halal sama ada melalui perniagaan, penyewaan dan sebagainya. Sebaliknya Islam mengharamkan riba dan semua perniagaan yang diharamkan serta semua perkara yang mengandungi unsur-unsur penipuan dan penyelewengan. Islam juga mengambil kira perbezaan manusia pada iltizam mereka di dalam mengikuti prinsip yang betul dan tanggungjawab mereka pada hak-hak orang lain. Islam meletakkan hukuman-hukuman yang ketat bagi beberapa keterlaluan yang berkaitan dengan hak Allah SWT seperti murtad, zina, minum arak dan seumpamanya sebagaimana Islam meletakkan hukuman-hukuman ketat bagi semua pencerobohan hak-hak manusia seperti pembunuhan, pencurian, pertuduhan, pergaduhan, merampas harta orang dan sebagainya. Hukuman-hukuman ini adalah setimpal dengan jenayah yang dilakukan tanpa kekurangan atau keterlaluan.
Islam juga menyusun dan menghadkan hubungan di antara pemerintah dan rakyat, maka wajib ke atas rakyat mentaati pemerintah dalam perkara yang tidak maksiat dan haram ke atas mereka ingkar daripada mentaatinya kerana perkara itu membawa kepada kerosakan-kerosakan khas dan umum.
Di sini, bolehlah dirumuskan bahawa Islam telah menjamin suatu pembinaan dan kewujudan hubungan yang baik dan amalan yang betul di antara hamba dan tuhannya, manusia dan masyarakat persekitarannya dalam segenap aspek. Tiada sesuatu pun daripada kebaikan sama ada berbentuk akhlak atau pergaulan melainkan Islam telah memberi tunjuk ajar serta dorongan kepada umatnya. Dan tiada sesuatu pun keburukan samada dalam bentuk akhlak atau pergaulan melainkan Islam telah memberikan peringatan serta larangan kepada umatnya terhadap perkara-perkara tersebut. Secara keseluruhannya, Islam telah menunjukkan kesempurnaan dan keunikannya dalam segenap aspek.
Dan segala puji itu bagi Allah tuhan semesta alam.
Sekian.
Author:  Scientific Research Admission of Islamic University, Madinah Munawara.

Selasa, 1 Februari 2011

KESEPAKATAN ULAMA MENGENAI 5 PERKARA

Syaqiq bin Ibrahim al-Balkhi wafat pada tahun 194 Hijrah merupakan salah seorang daripada ulama Khurasan. Beliau merupakan guru kepada Hatim al-Asam. Beliau mempunyai banyak manaqib dan pengalaman serta mutiara kata yang tidak ternilai dan boleh dijadikan panduan dan pedoman hidup.

Syaqiq bin Ibrahim berkata:

Aku telah bertanya kepada tujuh ratus ulama berkaitan lima masalah, kemudian mereka semuanya menjawab dengan jawapan yang sama.

  • Pertama: Siapakah yang sempurna akal? Jawabnya: Orang yang tidak cinta dunia. (Harus difahami orang yang cinta dunia dengan orang yang mahu / berhajat kepada  dunia dua golongan yang berbeza. Mahu kepada dunia tidak semestinya cintakan dunia)
  • Kedua: Siapakah orang yang cerdik? Jawabnya: Orang yang tidak tertipu oleh dunia.
  • Ketiga: Siapakah orang yang kaya? Jawabnya: Orang yang redha menerima bahagiannya daripada Allah.
  • Keempat: Siapakah orang yang mengerti agama? Jawabnya: Orang yang tidak meminta berlebih-lebihan (Orang yang bersifat qanaah).
  • Kelima: Siapakah orang yang bakhil? Jawabnya: Orang yang tidak mengeluarkan hak Allah daripada hartanya. (seperti bersedekah dan zakat)

(Zulkifli Mohamad Al Bakri,(2009). Soal Jawab A-Z tentang Tasawuf tapi anda tiada  
tempat untuk bertanya…. Kuala Lumpur: Telaga Biru Sdn Bhd)

AMALAN MENINGKATKAN DARJAT

Sebenarnya terlalu banyak amalan yang boleh membawa darjat yang tinggi dan utama. Dalam bahasa yang mudah, melaksanakan segala perintah Allah dan menjauhi segala larangan-Nya sudah tentu mendapat kedudukan yang mulia apatah lagi ditambah dengan ibadah-ibadah sunat.

Abu Lait berkata:
Jenis-jenis amalan yang dapat membawa manusia ke darjat orang baik dan tinggi iaitu:

i.                     Banyak bersedekah.
ii.                   Sentiasa membaca al Qur,an.
iii.                  Bersama dengan orang yang mengingati akhirat.
iv.                 Menghubungkan silaturrahim.
v.                   Menziarahi orang sakit.
vi.                 Sedikit bergaul dengan orang kaya yang lupa akhirat.
vii.                Banyak berfikir tentang kesudahannya.
viii.              Diam dan sedikit bicara.
ix.                 Tawaduk. (tunduk kepada Allah yang hak)

(Zulkifli Mohamad Al Bakri,(2009). Soal Jawab A-Z tentang Tasawuf tapi anda tiada tempat  
              untuk bertanya…. Kuala Lumpur: Telaga Biru Sdn Bhd)